Wednesday, August 25, 2010

Majlis Berbuka Puasa & Tarawikh


Kunjungan bulan Ramadhan yang mulia disambut penuh kesyukuran oleh seluruh warga Kedutaan Malaysia di Moscow ini. Justeru itu, majlis berbuka puasa dan bertarawikh beramai-ramai telah diadakan pada setiap hari Sabtu sepanjang bulan Ramadhan bagi meraikan bulan yang penuh keberkatan ini. Hidangan juadah berbuka pula disediakan oleh seluruh ahli perwakilan secara potluck.

Kerjasama erat sesama ahli PERWAKILAN serta seluruh warga kerja kedutaan dalam menyempurnakan tugasan serta memberi sumbangan ikhlas dalam menjayakan majlis ini amat dihargai. Selain itu, semangat anak-anak yang turut gigih menyempurnakan ibadah puasa juga amat dibanggakan. Golongan kanak-kanak ini amat tabah melaksanakan tanggungjawab tersebut walau pun dalam jangka masa yang agak panjang tahun ini, iaitu hampir mencecah 17 jam, disertai cuaca yang panas dan kering akibat heatwave yang melanda.
Diharapkan dengan keberkatan bulan yang mulia ini persefahaman serta ukhuwah yang terjalin terus utuh serta kehidupan seluruh warga Malaysia di bumi Moscow ini diberkati dan dipermudahkan.

Sunday, August 8, 2010

Majlis Ramah Mesra Bersama Y.Bhg. Datin Sri Siti Rubiah Datuk Abdul Samad




6 Ogos 2010 - Satu majlis ramah mesra bersama YBhg. Datin Sri Siti Rubiah Datuk Abdul Samad, isteri kepada YB Dato' Sri Anifah Hj. Aman, Menteri Luar Malaysia telah berlangsung di Kedutaan Besar Malaysia, Moscow. Majlis yang dihadiri sebahagian besar ahli-ahli PERWAKILAN Moscow ini berjalan dengan lancar hasil kerjasama serta komitmen seluruh ahlinya.

Ketibaan YBhg. Datin Sri di Kedutaan Besar Malaysia Moscow telah disambut meriah oleh para ahli PERWAKILAN Moscow, diketuai oleh YBhg. Datin Saripah Mohd Jaafar. Majlis telah dimulai dengan bacaan doa oleh Pn. Laili Rahmi Abdul Wahab Zen dan disusuli oleh ucapan aluan oleh YBhg. Datin Saripah.

Seterusnya YBhg. Datin Sri Siti Rubiah telah menyampaikan ucaptama kepada para Ahli PERWAKILAN Moscow, antaranya menekankan peranan para ahli dalam memberikan didikan kepada generasi muda khususnya anak-anak dan para pelajar berkenaan budaya serta nilai hidup positif masyarakat kita. Hal ini menurut beliau sangat penting kerana sebahagian generasi muda yang berada di luar negara mudah terpengaruh dengan cara hidup masyarakat asing, serta cenderung membawa pulang corak hidup asing yang nyata tidak bersesuaian dengan nilai budaya masyarakat Malaysia. Beliau turut menekankan peri pentingnya para ahli untuk mempelajari serta mendapatkan sebanyak mungkin ilmu yang bermanfaat sepanjang berada di perantauan, yang mana ilmu yang berguna ini pastinya akan dapat digunakan secara positif di tanah air kelak.

YBhg. Datin Saripah kemudiannya telah menyampaikan cenderahati berupa sebuah buku kompilasi resepi ahli-ahli PERWAKILAN Moscow kepada YBhg. Datin Sri Siti Rubiah, dan majlis diteruskan dengan acara memotong pulut kuning oleh kedua-keduanya. Majlis seterusnya dihiburkan dengan persembahan dua buah lagu nyanyian para ahli PERWAKILAN. Seterusnya majlis diserikan dengan acara poco-poco yang turut disertai oleh Y.Bhg. Datin Sri Siti Rubiah.

Majlis ramah mesra ini diakhiri dengan sesi fotografi ahli-ahli PERWAKILAN Moscow bersama Penaung PERWAKILAN, Y.Bhg. Datin Sri Siti Rubiah Datuk Abdul Samad dengan seribu kenangan manis yang tidak mungkin dapat dilupakan.

Maklum Balas & Pertanyaan

Terima kasih kerana berkunjung ke blog PERWAKILAN Moscow. Kami mahu memastikan blog ini berguna dan berinformasi sebaik mungkin. Komen anda akan membantu kami untuk meningkatkan mutu penyampaian maklumat dan info sedia ada. Sebarang komen, pendapat dan pertanyaan boleh di salurkan kepada perwakilanmoscowrussia@gmail.com.